comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: 366 ular ditangkap sejak bulan lalu di Seremban, Nilai

FOTO: Ihsan APM

SEREMBAN: Cuaca panas dan kering yang melanda beberapa negeri termasuk di daerah ini dan Nilai menyebabkan berlaku peningkatan aduan mengenai ular sejak bulan lalu dengan setakat ini sebanyak 366 ular ditangkap.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seremban, Kapten Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran berkata, tangkapan paling banyak membabitkan ular sawa iaitu sebanyak 256 ekor diikuti 23 ular tedung.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seremban, Kapten Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran. FOTO: Ihsan APM

“Sebanyak 220 ular ditangkap pada Januari manakala 146 ekor pula ditangkap pada Februari.

“Pihak kami menerima sekurang-kurangnya 10 aduan setiap hari mengenai reptilia ini yang dilaporkan masuk dan bersembunyi di dalam rumah penduduk,” katanya, hari ini.

Mohamad Ridzuan berkata, aduan paling tinggi diterima membabitkan kawasan Mantin, Labu dan Senawang.

“Kes paling banyak diterima adalah reptilia ini ditemui bersembunyi di dalam lubang tandas, bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Ular paling besar ditemui ialah spesis ular sawa iaitu seberat 10 kilogram dengan panjang 2.4 meter (8 kaki).

“Ular yang ditangkap akan dibawa pulang ke pejabat APM daerah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Justeru beliau berkata, pihaknya berharap penduduk tidak mengambil langkah sendiri menangkap ular sebaliknya hubungi pihak berkaitan yang mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi.

“Ambil langkah berhati-hati dan menjaga kebersihan di rumah masing-masing bagi mengelakkan minat ular untuk masuk ke rumah.

“Selain stor, bilik tidur dan tandas, haiwan berbisa itu juga suka ‘berehat’ di dalam kasut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini