comscore
Tumpuan :
Nasional

30 penggiat seni dibenar ambil tindakan undang-undang terhadap PRISM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan 30 individu termasuk penyanyi dan pemuzik tanah air untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM).

Kebenaran itu ialah untuk menuntut kutipan royalti sejak tahun 2017.

Antara penggiat seni yang memohon kebenaran itu ialah penyanyi, Datuk Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali; Datuk DJ Dave (Irwan Shah Abdullah), Datuk J Sham (Shamsuddin Jaafar); Azharina Azhar dan Aris Ariwatan (Haris Fadzilah Daud).

Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Murad Abd Aziz, membenarkan permohonan penggiat seni terbabit untuk memfailkan tindakan guaman terhadap syarikat itu mengikut Seksyen 471 Akta Syarikat 2016.

Mereka yang bertindak selaku pemohon, memfailkan permohonan notis usul itu pada 8 Disember tahun lalu dengan menamakan PRISM, yang kini sudah digulungkan, sebagai responden.

Mereka memohon untuk memfailkan tindakan guaman terhadap PRISM dengan mengambil kira Perintah Penggulungan yang dikeluarkan terhadap syarikat itu pada 30 November 2018.

Melalui afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Jamal, menyatakan, menurut carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), perniagaan PRISM sebelum digulungkan adalah bertindak bagi pihak ahlinya mengikut Memorandum Persatuan yang meliputi artis, pemuzik atau individu yang berhak terhadap hak di dalam mana-mana rakaman bunyi.

Jamal berkata, PRISM diisytiharkan sebagai suatu badan pelesenan di bawah seksyen 27A Akta Hakcipta 1987 untuk menjalankan aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik bagi pihak ahlinya.

Katanya, bagaimanapun syarikat itu gagal, ingkar dan cuai untuk mengutip dan membuat pengagihan jumlah kutipan royalti yang layak diterima oleh mereka bagi tempoh daripada tahun 2017 hingga 2021.

“Kesemua usaha kami kepada pelbagai pihak menemui jalan buntu dan gagal.

Oleh yang demikian, kami kini tiada pilihan selain mengambil keputusan untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah ini untuk memohon relif yang sepatutnya diterima daripada PRISM.

“Kami adalah berhak untuk mengesan bayaran royalti yang tertunggak daripada jumlah yang dilaporkan oleh media dan mendapat kembali bayaran royalti yang sama daripada PRISM.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa bayaran daripada jumlah kutipan royalti yang layak diterima daripada PRISM,” katanya.

Kesemua pemohon diwakili Datuk Kamaruzaman Arif, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Sofiah Omar dan Muhammad Izzat Dzulkafli, manakala pegawai penerima dan pelikuidasi yang juga Peguam Kanan Persekutuan dari Jabatan Insolvensi Kuala Lumpur, Rahni Kartini Abd Rahim dan Norizan Omar, turut hadir pada prosiding hari ini.

Loading...
Terkini