comscore
Tumpuan :
Nasional

31 pegawai dan anggota polis IPK KL dibuang kerja

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mendedahkan seramai 31 pegawai dan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur telah dikenakan tindakan buang kerja sejak Januari hingga November lalu.

Ujarnya, tindakan itu diambil selepas kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Sentiasalah menjalankan tugas dengan berintegriti kerana integriti bukan sahaja mencerminkan imej seseorang pegawai dan anggota polis, malah ia melambangkan identiti Polis Diraja Malaysia,”tegasnya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Bagaimanapun jelas Allaudeen, jumlah itu berkurangan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 40 pegawai dan anggota dikenakan tindakan sama.

Tambahnya, setiap anggota polis perlu mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan serta sentiasa berdisplin sebagai petugas barisan hadapan kepada masyarakat.

Dalam pada itu ujar Allaudeen, seramai 127 anggota dinaikkan pangkat tahun ini.

“Kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan sebaliknya merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul.

“Maka galaslah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi setiap masa,” ujarnya lagi.

Loading...
Terkini