comscore
Tumpuan :
Nasional

32 mangsa banjir di Kampung Lakai berpindah ke balai raya

Keadaan banjir di Kampung Lakai. – FOTO : NSTP

JELEBU: Hujan lebat melanda sekitar daerah ini sejak petang semalam menyebabkan Kampung Lakai di sini, digenangi banjir dengan air dilapor naik sehingga paras satu meter.

Keadaan itu menyebabkan 32 mangsa membabitkan enam keluarga terpaksa berpindah ke lokasi selamat selepas kediaman masing-masing dinaiki air kira-kira jam 4 pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Azmi Wahab, berkata berdasarkan maklumat awal pihaknya, seramai 17 penduduk termasuk dua kanak-kanak dan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan terpaksa berpindah ke lokasi selamat awal pagi tadi.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 15 mangsa dipindahkan ke balai raya di kampung berkenaan, manakala dua lagi berpindah ke rumah saudara terdekat.

“Sehingga kini jumlah sebenar mangsa yang terkesan akibat banjir di Kampung Lakai masih disiasat dengan kerjasama agensi lain yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Lakai, Mohd Adlan Jasin, mengesahkan ketika ini enam keluarga membabitkan 32 mangsa ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.

Katanya jumlah sebenar mangsa sedang dikenal pasti dan tindakan sedang dilakukan bagi memastikan semua mangsa diberi perhatian sewajarnya.

“Ketika ini keadaan air masih bertahan dan kita berharap situasi akan kembali normal sekiranya cuaca bertambah baik dan mangsa boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini