comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 4 lelaki dikejarkan ke hospital, terhidu gas phenol


KULIM: Empat pekerja di sebuah kilang pengeluar produk berasaskan plastik di Lunas, di sini terpaksa dikejarkan ke Hospital Kulim selepas terhidu gas bocor di kilang berkenaan, hari ini.

Dua daripada mereka didapati dalam keadaan separa sedar manakala dua lagi mengalami pening dan loya akibat terhidu bahan kimia jenis gas phenol.

Komander Operasi Kanan merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.53 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Yazan Yahya bersama 16 anggota termasuk sebuah jentera, jentera EMRS, jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah tiba di lokasi pada jam 10.12 pagi.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 berlaku kebocoran gas di kilang berkenaan.

“Berikutan itu, PGO JBPM Kedah turut memaklumkan dan meminta bantuan pakar HAZMAT, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah sebagai rujukan.

“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan terdapat kebocoran bahan kimia jenis gas phenol dan terdapat empat mangsa dipercayai pekerja kilang terbabit terhidu gas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pasukan HAZMAT Kulim Hi Tech kemudian mengesahkan tiada lagi bacaan bahan kimia berbahaya di lokasi kilang berkenaan.

“Operasi tamat pada jam 11.50 pagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini