comscore
Tumpuan :
Nasional

4 mangsa runtuhan gudang dipercayai tertimbus bawah lantai simen

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam operasi mencari empat lagi mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus. – FOTO: NSTP

BAYAN LEPAS: Baki empat mangsa dalam tragedi runtuhan gudang logistik yang dalam pembinaan di Batu Maung, dipercayai tertimbus dalam lantai simen.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji berkata, ia kerana cuaca yang panas menyebabkan simen itu mengeras.

“Simen konkrit berkenaan dibancuh kira-kira jam 9 malam (tadi) dan ia mungkin sudah mengeras kerana sudah 12 jam berlalu.

“Tetapi konkrit itu tidak dalam keadaan mampat dan ia jatuh ke bawah pada ketinggian 18 meter,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bergantung kepada keadaan cuaca.

“Kerisauan kami ialah (faktor) cuaca, jika kekal (panas) seperti ini, lebih mudah operasi dijalankan.

“Namun, sekiranya hujan, ia akan mengganggu operasi kerana kawasan ini (lokasi kejadian) masih dalam tapak pembinaan,” ujarnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPJB) Ts. Zulfahmi Sutaji pada sidang media di lokasi kejadian bangunan dalam pembinaan runtuh di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Pulau Pinang. – FOTO: NSTP

Menurut Zulfahmi, sehingga jam 1 tengah hari, pasukan penyelamat sedang berusaha mengalihkan rasuk utama seberat 33 tan sebelum meneruskan operasi.

Sebanyak 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama besi sudah dikeluarkan daripada kawasan runtuhan dan pihaknya masih mencari kaedah bagi mengeluarkan konkrit utama.

“Kita tidak boleh menjangka sama ada operasi akan tamat pada hari ini.

“Kita kena lebih berhati-hati keluarkan struktur utama sebab berat lebih 30 tan, bimbang ia menyentuh dan mengganggu struktur lain sekali gus lokasi berkenaan menjadi tidak selamat.

“Pasukan STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia) dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang sedang bersiap sedia dan unit K9 (anjing pengesan) juga sudah masuk ke lokasi,” jelasnya.

Dalam kejadian jam 9.45 malam semalam, gudang dalam pembinaan itu runtuh menghempap 9 pekerja binaan warga Bangladesh yang sedang bekerja.

Terdahulu, polis mengesahkan tiga pekerja warga Bangladesh maut dan dua parah manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini