comscore
Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI] Runtuhan bangunan: Tiga maut, dua parah, empat lagi masih tertimbus

 

 

Oleh: Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: Tiga pekerja binaan maut, dua parah, manakala empat lagi masih tertimbus dalam kejadian runtuhan gudang logistik yang masih dalam pembinaan di Batu Maung, di sini, malam tadi.

Kesemua mangsa warga Bangladesh.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata dua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Manakala, operasi mencari dan menyelamat empat lagi mangsa masih dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati runtuhan berlaku ketika mangsa sedang bekerja di tingkat bawah bangunan sebelum dihempap 14 rasuk konkrit dari ketinggian kira-kira 20 meter.

“Setakat ini kita telah kenal pasti tiga mangsa yang terkorban.

“Dua orang maut di tempat kejadian, seorang disahkan meninggal dunia di hospital, manakala dua lagi mangsa mengalami cedera parah dan sedang dirawat di HPP.

“Menurut maklumat awal, 18 pekerja sedang bekerja di tapak pembinaan tersebut.

“Bagaimanapun, sembilan daripada mereka telah keluar dari kawasan untuk menunaikan solat, manakala sembilan orang lagi sedang bekerja di tingkat bawah.

“Satu beam (rasuk) sepanjang 12 meter dengan berat 14 tan jatuh dan telah melanggar rasuk lain dan menimpa mangsa-mangsa yang sedang bekerja di bawah.

“Ketika ini, pihak bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan empat mangsa yang masih terperangkap dengan bantuan kren,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Beliau turut memaklumkan, pelbagai agensi dan jabatan dengan kekuatan lebih 80 pegawai dan anggota sedang berusaha mengeluarkan empat lagi mangsa yang masih terperangkap.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji berkata, dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, jentera berat diguna bagi mengalihkan rasuk konkrit untuk mengeluarkan empat lagi mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit.

“Kesukaran yang dihadapi ketika ini kerana ia melibatkan struktur-struktur konkrit yang besar dan berat di kawasan seluas gelanggang bola keranjang.

“Jadi kita memerlukan lebih jentera berat untuk mengalihkan runtuhan dan membersihkan kawasan supaya ia memudahkan anggota penyelamat untuk akses mencari mangsa.

“Kami akan meneruskan operasi carilamat tanpa henti sehingga kesemua mangsa dikeluarkan,” katanya.

Tambahnya, Unit Pengesan Anjing (K9) juga akan dipanggil sekiranya diperlukan untuk mengesan mangsa yang tertimbus.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam tadi, sembilan individu dilaporkan terperangkap selepas bangunan dalam pembinaan runtuh di Tapak Pembinaan Bangunan DHL, berhampiran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, di sini.

Bangunan dalam pembinaan itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir, gudang dan lain- lain lagi.

Sementara itu, Konsul Kehormat Bangladesh, Datuk Shaik Ismail Allaudin yang tiba di lokasi berkata pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat kesemua mangsa yang terbabit.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini