comscore
Tumpuan :
Nasional

42 kes berkaitan cuaca panas direkodkan

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

AMPANG: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 42 kes berkaitan cuaca panas di seluruh negara bagi tempoh awal tahun hingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia membabitkan 10 kes strok haba dan baki 32 kes melibatkan kelesuan haba.

“Minggu lepas kita ada (melaporkan) satu kematian di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) (Kubang Kerian, Kelantan), kes membabitkan anak berumur tiga tahun tertinggal dalam kereta.

“Kejadian ini sangat traumatik kerana antara sebab (kematian) adalah mengalami strok haba dan meninggal dunia susulan kegagalan (fungsi) pelbagai organ mungkin disebabkan dehidrasi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menjadi korban kedua strok haba di negara ini pada 1 April lalu.

Menurut keluarga mangsa, Muhamad Abil Qaiz Faizal Fazrin mengalami muntah-muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri ketika bermain di dalam kereta datuknya di Kampung Teluk, 29 Mac lalu.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata, KKM sedang memantau rapi penyakit berjangkit yang dikaitkan dengan cuaca panas.

Jelasnya, setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan kes sedemikian dan berharap tiada wabak meletus susulan keadaan cuaca ketika ini.

Terdahulu, Dzulkefly dan isteri, Datin Seri Azlin Hezri menghadiri program ramah mesra bersama warga KKM dan pesakit di Hospital Ampang, Selangor.

Program tradisi setiap Menteri Kesihatan sempena 1 Syawal itu bagi meraikan dan menyantuni kakitangan KKM yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini