comscore
Tumpuan :
Nasional

43,000 akaun pengguna masih terjejas bekalan air di Johor

JOHOR BAHRU: Kira-kira 43,000 akaun pengguna masih terjejas akibat gangguan bekalan air berpunca daripada kerosakan paip di Persiaran Bandar Seri Alam dekat Masai di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata bilangan pengguna yang terjejas itu, berkurangan berbanding pada awalnya membabitkan kira-kira 100,000 akaun.

Katanya, bagi memantau permasalahan berkenaan, beliau turut meninjau kerja-kerja pembaikan kerosakan paip air yang sedang dijalankan.

“Bilangan akaun pengguna yang terjejas berkurangan selepas beberapa langkah sementara diambil pihak Ranhill SAJ. Gangguan ini berpunca akibat kerosakan serentak pada dua batang paip masing-masing bersaiz 1000mm dan 1200mm sedalam lebih kurang lapan meter.

“Kerosakan ini berlaku ketika kerja pemasangan paip baru di kawasan sama. Ranhill SAJ melakukan kerja-kerja mengenal pasti lokasi sebenar kerosakan dan proses ini mengambil masa akibat faktor tanah runtuh,” katanya ketika melawat tapak baik pulih paip di Persiaran Bandar Seri Alam, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, operasi pembaikan giat dilakukan Ranhill SAJ sepanjang masa sejak tiga hari lalu.”Ranhill SAJ mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan yang terjejas dengan 17 lori tangki dan akan dibantu lima lori tangki pihak swasta, 2 lori tangki pihak bomba dan sekurang-kurangnya 14 lori tangki dari negeri jiran.

“Ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu memberikan khidmat penghantaran air percuma kepada pengguna yang terjejas.”Bilangan lori tangki akan ditambah dari masa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembaikan dilakukan,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, pihaknya menjangka keadaan akan pulih seperti sedia kala dalam tempoh terdekat.

“Keadaan akan pulih dalam sedikit masa lagi sebaik sahaja kerja-kerja baik pulih selesai dengan mengambil kira jenis kerosakan dan kaedah baik pulih yang terbaik.

“Diharapkan seluruh pengguna yang terjejas dapat bersabar dan mendoakan kerja pembaikan ini berjalan lancar serta disiapkan segera,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini