comscore
Tumpuan :
Nasional

5 Bazar Ramadan Rapid KL Ditutup Mulai Sabtu

Bazar Ramadan LRT Kelana Jaya – Foto ihsan Prasarana

Lima bazar Ramadan Rapid KL di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) sekitar Selangor akan ditutup mulai Sabtu ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di negeri berkenaan.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan itu selaras dengan pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkenaan penutupan semua bazar Ramadan di kawasan PKP bermula 8 Mei ini.

Antara yang terlibat ialah bazar di stesen LRT Kelana Jaya, Glenmarie, Pandan Indah, Cempaka dan Putra Heights.

Operasi bazar di stesen LRT Cempaka telah ditutup pada 1 Mei selepas tersenarai dalam kawasan berisiko tinggi menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).

Bazar Ramadan di Stesen LRT Damai yang terletak di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa.

“Prasarana ingin mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan peniaga yang memberikan sokongan atas inisiatif ini walaupun terpaksa mengharungi cabaran wabak COVID-19.”

“Warga kota disaran terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di mana sahaja anda berada seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan semua,” katanya.

Loading...
Terkini