comscore
Tumpuan :
Nasional

6 kematian akibat komplikasi demam denggi

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Enam kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-42 (ME42) iaitu bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober.

Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan pada ME41 iaitu dari 8 hingga 14 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata jumlah kes demam denggi pada ME42 menurun 0.4 peratus kepada 2,262 kes, berbanding 2,271 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME42 meningkat sebanyak 100.5 peratus kepada 96,443 kes berbanding 48,109 kes bagi tempoh sama pada 2022.

“Sejumlah 73 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 29 kematian bagi tempoh yang sama pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot pada ME42 menurun kepada 73 lokaliti berbanding 79 lokaliti minggu sebelumnya.

Sebanyak 51 lokaliti di Selangor, sembilan lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, lima di Perak, tiga di Negeri Sembilan, dua di Sarawak dan masing-masing satu lokaliti di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Mengenai survelan chikungunya, beliau berkata, satu kes direkodkan pada ME42 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini sebanyak 177 kes, manakala bagi survelan zika, 2,842 sampel darah serta 286 sampel urin dijalankan saringan dan hasilnya semua negatif.

Dr Muhammad Radzi berkata, segelintir masyarakat masih tidak peka dengan kebersihan sekeliling dan membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 di seluruh negara bagi membendung peningkatan kes denggi dan mengurangkan risiko jangkitan denggi dalam kalangan masyarakat,” katanya.– BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini