comscore
Tumpuan :
Nasional

507 mangsa banjir di Perak ditempatkan di 5 PPS

Anggota APM melakukan tinjauan di kawasan sekitar Changkat Jong yang dilanda banjir berikutan Sungai Bidor melimpah. FOTO: APM

TELUK INTAN: Setakat jam 8 pagi, mangsa banjir di Perak terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 507 orang daripada 155 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.

Ia berbanding 488 orang daripada 151 keluarga yang direkodkan jam 6 petang semalam.

Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak setakat jam 8 pagi menunjukkan, Hilir Perak menjadi daerah paling terjejas di Perak dengan merekodkan 353 mangsa (112 keluarga) ditempatkan di tiga PPS, diikuti daerah Kerian yang merekodkan sejumlah 154 mangsa (43 keluarga) dipindahkan ke dua PPS.

Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak (dibuka 23 Oktober lalu), PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap (dibuka 1 November lalu), dan PPS Dewan Serbaguna Chikus (dibuka kelmarin) masih aktif.

Di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak (dibuka 24 Oktober lalu) dan PPS SK Alor Pongsu (dibuka 30 Oktober lalu) juga berstatus aktif.

“PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 165 orang (52 keluarga), PPS Dewan MPTI Langkap 144 orang (46 keluarga), manakala PPS Dewan Serbaguna Chikus mencatatkan sejumlah 44 mangsa (14 keluarga) manakala PPS SK Changkat Lobak pula terdapat 97 mangsa (24 keluarga), sementara baki 57 mangsa (19 keluarga) ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dekat sini mencecah 4.12 meter (m), melepasi paras bahaya 3.50 m dan Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula berada pada paras berjaga-jaga apabila merekodkan bacaan 13.25m (paras berjaga-jaga bagi Sungai Kinta, 13.00m).

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut melaporkan penutupan jalan persekutuan di beberapa daerah berikutan situasi banjir semasa.

Di Kerian, Jalan Selama ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan kenaikan paras air di jalan terbabit, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah manakala di Hilir Perak, Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara, penggunaan diminta menggunakan jalan alternatif.

Di Batang Padang, JKR Perak sedang menyegerakan kerja -kerja pembaikan bahu jalan di FELDA Trolak Selatan yang runtuh dan jalan dibuka satu lorong untuk kenderaan ringan sahaja.

Di Selama, JKR Perak sedang menjalankan kerja pembersihan di Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan dan jalan dibuka untuk semua kenderaan. Bagi mengelakkan kesesakan, pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Di Batang Padang, pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah dibuat oleh JKR Perak di Jalan Ipoh-Tanjung Malim dengan jalan dibuka satu lorong kepada semua jenis kenderaan.

Loading...
Terkini