comscore
Tumpuan :
Nasional

58,080 KIR di 12 daerah di Sabah terima bekalan air

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda pada majlis penyampaian bantuan kepada JBPM Sabah di Menara Kinabalu di sini, hari ini. – FOTO: JKM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: 58,080 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 355 buah kampung dalam 12 daerah di seluruh Sabah yang terjejas, menerima bekalan air akibat kemarau berpanjangan di negeri itu.

Bagi tujuan itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM7.5 juta dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Jabatan Air Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terjejas kini sedang mengagihkan air kepada penduduk,” katanya.

Daerah yang terjejas teruk akibat kekurangan air ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

“Loji rawatan air di kawasan tadahan semakin kering akibat kemarau sejak pertengahan Februari 2024 dan lebih banyak kawasan akan terjejas sekiranya keadaan berterusan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian bantuan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

FOTO: JKM Sabah

Ketua Menteri berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengesyorkan operasi pembenihan awan di kawasan yang terjejas di Sabah akibat cuaca panas dan kering bermula esok hingga 30 Mac.

“Operasi pembenihan awan akan berdasarkan ramalan atmosfera awan yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan,” katanya sambil menambah bahawa kos akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia telah bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal.

Beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap operasi pembenihan awan akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya.

Datuk Seri Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM267,444 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kegunaan mereka membeli peralatan tambahan bagi memadam kebakaran hutan dan belukar di kawasan terjejas di Sabah.

Peralatan itu ujan Hajiji termasuk 27 pam mudah alih; 75 pam sandang berenjin dan 906 unit alat pemerap api dan pencakar api.

Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan yang memusnahkan kawasan seluas 9,392.23 ekar di seluruh negeri.

Tambahnya daripada jumlah itu, kira-kira 8.55 ekar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

“Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengerahkan 319 anggota bomba di seluruh Sabah.

“Kerajaan negeri turut berjanji untuk memberi bantuan kepada jabatan itu bagi mengawal kebakaran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini