comscore
Tumpuan :
Nasional

62 rumah penduduk Pengkalan Batu dilanda banjir kilat

Anggota bomba memeriksa sebuah kereta yang tersekat dalam banjir di persimpangan Lebuh SPA-MITC pagi tadi. – FOTO: Ihsan JBPM Melaka.

PENGKALAN BATU: Sebanyak 62 rumah penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini, dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata hujan berterusan sejak 5 pagi tadi menyebabkan tiga kampung iaitu Kampung Pengkalan Batu, Kampung Bachang Darat dan Kampung Peringgit terjejas.

“Jumlah rumah paling banyak terjejas adalah di Kampung Pengkalan Batu iaitu sebanyak 55 buah rumah, diikuti lima di Kampung Peringgit dan dua di Kampung Bachang Darat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamarulsyah, maklumat itu diperolehi hasil rondaan oleh anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam), penghulu dan orang awam.

Kenyataan itu mengesahkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Anggota APM Alor Gajah memeriksa kediaman penduduk yang dilanda banjir di Bukit Balai, Durian Tunggal. – FOTO: Ihsan APM Alor Gajah.

Tambah Kamarulsyah, beberapa kawasan rendah di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal turut terjejas ekoran limpahan air dari sungai dan parit berdekatan.

Dalam perkembangan berkaitan, banjir kilat turut melanda rumah penduduk di kawasan Duyong dan Kampung Sungai Putat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan pemantauan pihaknya di kawasan Sungai Putat mendapati limpahan air hujan dari sungai berlaku disebabkan pintu empangan tidak dibuka.

Menurut JBPM Melaka, keadaan air mula surut dan kembali terkawal selepas pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (PPS) membuka pintu empangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini