comscore
Tumpuan :
Nasional

670 petugas jayakan operasi haji tahun ini

Syed Saleh (tengah) menyantuni petugas haji yang berlepas ke Tanah Suci di Movenpick Hotel hari ini. – FOTO: NSTP

SEPANG: Seramai 670 petugas haji akan digerakkan secara berperingkat ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi ibadah haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, daripada keseluruhan petugas haji, 340 daripadanya adalah petugas kebajikan, petugas perubatan (296) manakala baki 34 petugas lagi adalah daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta media tempatan.

“Semua petugas digerakkan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan sepanjang fasa pertama operasi haji tahun ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan 160 petugas haji termasuk media ke Tanah Suci di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata TH masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan 10,000 kuota tambahan jemaah haji Malaysia tahun ini.

“Itu (rayuan kuota tambahan) terpulang kepada kerajaan Arab Saudi. Mereka mempunyai jawatankuasa untuk melihat dari segi permohonan-permohonan yang diterima dan dalam masa yang sama, mereka lihat juga dari aspek lain seperti kemudahan, prasarana dan sebagainya.

“Jadi tempoh untuk mereka menjawab semula kepada kita itu berbeza-beza, setakat ini belum lagi (keputusan kuota tambahan),” katanya.

Bagi tahun ini, hari Wukuf iaitu 9 Zulhijah dijangka pada hari Selasa, 27 Jun ini.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia membabitkan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – BERNAMA

Loading...
Terkini