comscore
Tumpuan :
Nasional

Lesen satu Pengelola Jemaah Haji tahun ini dibatalkan Tabung Haji – BUMITRA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) mengakui, Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa tegas dalam memastikan semua Pengelola Jemaah Haji (PJH) memenuhi piawaian dan kriteria yang ditetapkan.

Presidennya, Harun AC Ahmmu berkata, sebagai bukti, satu daripada PJH yang dianugerahkan lesen pada musim haji lalu, ditarik balik kebenaran kerana melanggar terma dan syarat Lesen PJH 1444 Hijrah.

Katanya, BUMITRA menasihatkan semua agensi pelancongan di bawah naungan persatuan itu khususnya pemegang lesen PJH supaya sentiasa beretika dan menjaga nama baik persatuan dan TH dalam memberikan perkhidmatan dan melakukan aktiviti pemasaran mereka.

“BUMITRA tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana ahli persatuan yang melanggar etika profesionalisme dalam keghairahan mereka memasarkan perkhidmatan haji, umrah dan pelancongan buat masyarakat.

“Kami menyokong usaha TH dalam mengutamakan kualiti perkhidmatan haji tanpa membatasi jumlah syarikat yang layak di lantik sebagai PJH.

“Ini bermakna, mana-mana agensi pelancongan yang berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh TH adalah layak menjadi PJH. Ia bertujuan untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada semua jemaah sewaktu di Malaysia dan Tanah Suci apatah lagi prestasi cemerlang TH sebagai ‘Pengendali Haji Terbaik Dunia’ dapat dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Harun berkata, BUMITRA yakin dan percaya TH mempunyai mekanisme dan kriteria yang tersendiri dalam membuat penilaian dan pelantikan sebagai PJH.

“Kesemua agensi pelancongan yang terpilih adalah syarikat yang berkredibiliti, berwibawa dan mempunyai rekod yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan umrah dan haji.

“Syarikat-syarikat ini juga adalah pemegang lesen sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Beliau berkata, BUMITRA turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada TH di atas pelantikan 25 ahlinya sebagai PJH bagi Musim Haji 1445H.

“Perlantikan ini menunjukkan peningkatan jumlah agensi pelancongan yang terbabit berbanding dengan musim haji sebelumnya, di mana hanya 22 syarikat yang terpilih sebagai PJH,” katanya.

Loading...
Terkini