comscore
Tumpuan :
Jenayah

7 individu dakwa ditipu pemilik kelab bola sepak RM900,000

PEGUAMBELA, Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dan Ainur Rabiatuadawiyah Hassim bersama mangsa tipu kes pelaburan pemilik kelab bola sepak pada sidang media di Pejabat guaman Akmal Shamsul Kahar & Co, Binjai 8 Premium Soho. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik kelab bola sepak didakwa memperdaya orang ramai melabur dalam pra tawaran permulaan saham (pra-IPO) untuk syarikatnya yang dikatakan akan disenarai di Bursa Malaysia.

Lelaki terbabit sebelum ini mengiklankan tawaran pelaburan dalam beberapa syarikat miliknya melalui media sosial Facebook (FB).

Namun, tujuh individu yang melabur di syarikat milik usahawan itu tampil mendakwa diperdaya membabitkan kerugian mencecah RM900,000 apabila tiada pulangan pelaburan dan dividen diberikan sejak dua tahun lalu.

Seorang mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat swasta mendakwa dipanggil menghadiri seminar pelaburan selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di FB lelaki itu pada 2020.

Usahawan berusia 44 tahun itu mendakwa dijanjikan pulangan sebanyak 50 peratus daripada keuntungan syarikat menyebabkan dia membuat pelaburan di empat syarikat dengan jumlah keseluruhan pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Selepas setahun melabur, saya terima laporan kewangan syarikat menyatakan rugi. Saya faham apabila melabur memang akan ada untung rugi dan ketika itu pula pandemik.

“Tetapi apa yang saya kecewa adalah sehingga kini saya tidak terima sebarang pulangan dan tiada laporan kewangan, laporan audit diberikan serta tiada mesyuarat agung tahunan (AGM) dijalankan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Seorang pensyarah sebuah universiti awam berusia 35 tahun mendakwa melabur RM100,000 di dua syarikat milik lelaki itu selepas tertarik dengan iklan tawaran pelaburan di FB.

“Melihat kredibilitinya sebagai usahawan dan berjaya dalam perniagaan hotel serta restoran, jadi saya yakin untuk melabur di syarikatnya. Saya juga buat carian di internet mengenainya, tiada komen negatif.

“Saya mula melabur pada 2021 tapi sehingga kini tidak dapat apa-apa pulangan. Sebagai pelabur saya ada hak untuk tahu ke mana pelaburan, laporan kewangan dan AGM, tapi bila tanya dia beri pelbagai alasan,” katanya.

Tidak puas hati dengan tindakan lelaki itu, beliau yang berasa ditipu tampil membuat laporan polis pada awal bulan lalu dan berharap siasatan lanjut dijalankan.

Syarikat guaman Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co yang mewakili lapan mangsa termasuk pengarah urusan syarikat hari ini tampil mendedahkan perkara itu.

Peguam, Ainur Rabiatuadawiyah Hassim, berkata pihaknya menerima aduan penipuan pelaburan membabitkan individu sama daripada tujuh mangsa dan sebuah syarikat.

Menurutnya, mangsa mendakwa melabur selepas terpedaya dengan representasi lelaki itu bahawa syarikatnya akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan menjadi syarikat senarai awam serta akan mendapat keuntungan tinggi hasil pelaburan itu.

“Kebanyakan pelabur menghadiri sesi taklimat saham khas pra-IPO anjuran lelaki terbabit yang dilakukan secara atas talian atau bersemuka sebelum membuat pelaburan mereka.

“Bagaimanapun, anak guam tidak puas hati apabila lelaki itu dikatakan gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), jumlah saham dicatatkan dalam carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak selari dengan jumlah bayaran dibuat serta tiada maklumat berkaitan perkembangan syarikat.

“Malah, mereka juga tidak menerima laporan kewangan beraudit dan syarikat gagal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia mengikut tempoh dijanjikan,” katanya.

Berikutan itu, beliau akan mewakili mangsa bagi mengambil tindakan undang-undang dan berharap pihak berkuasa bertindak segera bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

Loading...
Terkini