comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 704 mangsa penipuan pekerjaan dikesan, sebahagian besar sudah pulang

 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Seramai 704 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara, dikesan mendaftar dengan Kementerian Luar dengan 518 daripadanya berjaya dibawa pulang, setakat Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata kerjasama semua pihak diperlukan untuk memberi maklumat kepada pihak berwajib, susulan lebih 2,000 dalam kalangan mereka dilaporkan berada di luar negara akibat ditipu sindiket hingga kini.

“Data rasmi Kementerian Luar bagi mangsa yang kita jejaki dan kesan adalah 704, yang kita berjaya selamatkan 518, manakala 186 lagi sedang dikesan.

“Banyak laporan media yang melaporkan lebih daripada itu, ada yang kata sampai 2,000 orang”, katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi.

Tambahnya, Kementerian Luar juga sedang berusaha mengenal pasti 26 mangsa warganegara Malaysia terbabit sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, dan menunggu kebenaran daripada pihak berkuasa negara itu untuk membolehkan Malaysia membuat lawatan dan perbincangan di sana.

Ujar Datuk Alamin, Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara bersama pihak  berkuasa tempatan juga berusaha untuk mengesan, menyelamat dan memberikan bantuan konsular kepada mangsa penipuan pekerjaan untuk memudahcara proses  dokumentasi dan pengeluaran Sijil Perakuan Cemas bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Menurut beliau lagi, Wisma Putra juga terlibat dalam lawatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Kemboja dan Thailand pada awal tahun ini bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan yang terlibat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini