comscore
Tumpuan :
Nasional

72% daripada 50,096 pelajar layak telah memohon subsidi FLYsiswa

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di majlis peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya

Oleh: Juliana SharinKUALA LUMPUR: 35,994 atau 72 peratus daripada 50,096 pelajar yang layak mendapat bantuan subsidi FLYsiswa telah mengemukakan permohonan baucar daripada syarikat penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya berharap baki kira-kira 14,000 baucar digital bernilai RM300 itu dapat ditebus semuanya selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini.

“Saudara dan saudari juga boleh menjadi duta FLYsiswa dan maklumkan rakan-rakan yang layak tetapi masih belum menebus bantuan subsidi ini. Penebusan baucar harus dibuat selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023 tetapi tarikh perjalanan boleh pada bila-bila masa termasuk tahun depan,” katanya pada majlis peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya.

Jelas beliau daripada jumlah itu, 7,791 pelajar dari Universiti Teknologi MARA mendapat manfaatnya, diikuti Universiti Malaysia Sabah (6,280), Universiti Malaysia Sarawak (4,975), Universiti Pendidikan Sultan Idris (4,780) dan Universiti Malaya (2,267).

“Pada mulanya, inisiatif ini hanya dibuka kepada pelajar-pelajar universiti awam. Selepas mendengar maklum balas dari anda semua, Kerajaan Perpaduan sekali lagi telah bersetuju supaya pelaksanaan inisiatif ini diperluaskan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula pada 6 Oktober 2023,” katanya.

Tambah beliau lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan Madani 2024 telah mengumumkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ini akan diteruskan pada tahun depan untuk manfaatkan hampir 60,000 pelajar termasuk pelajar baru IPTA.

Peluncuran FLYsiswa dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan dihadiri 500 tetamu khususnya pelajar dari Sabah dan Sarawak.

Loading...
Terkini