comscore
Tumpuan :
Nasional

Pengasas bersama syarikat penerbangan disambung reman, akaun bank RM5 juta dibeku

PETALING JAYA: Pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan disambung reman dua hari lagi bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata isteri dan anaknya bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Suspek sebelum ini direman  empat hari sejak 18 Oktober lalu bersama isteri dan anaknya.

Katanya, polis membekukan 15 akaun bank milik suspek untuk siasatan lanjut.

“Nilai kewangan membabitkan pembekuan akaun adalah dianggarkan hampir mencecah RM5 juta,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau mengesahkan bahawa Bukit Aman sedang menyiasat punca kewangan pengasas bersama yang juga pemegang saham sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang ditahan.

Beliau berkata siasatan polis dibuat secara menyeluruh, termasuk bagaimana syarikat penerbangan itu tertubuh.

“Siasatan kita tidak terhad, ia akan dijalankan secara menyeluruh mencakupi semua aspek termasuk punca dan jejak perjalanan wang dari awal sehinggalah penubuhan syarikat penerbangan terbabit,” katanya

Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tidak menolak kemungkinan ada lagi individu lain akan disiasat dan ditahan.

Pada 18 Oktober lalu, suspek bersama anak dan isterinya direman empat hari di Lokap Berpusat Jinjang, Kepong.

Siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 57, 55 dan 26 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang pada 17 Oktober lalu di rumah mereka di Shah Alam, Selangor.

Loading...
Terkini