comscore
Tumpuan :
Nasional

72 pusat mengundi awal dibuka di Perak

IPOH: 72 pusat mengundi membabitkan 122 saluran dibuka bagi pengundian awal Pilihan Raya Umum ke 15, di Perak, membabitkan 31,291 pengundi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, 12,215 daripadanya melibatkan anggota polis di Kontinjen Perak serta 19,076 warga tentera, serta pasangan masing-masing.

Beliau ditemui selepas meninjau proses pembuangan undi di Pusat Latihan Kontinjen Perak, di Balai Polis Pasir Puteh di Ipoh.
Datuk Mohd Yusri turut mengundi di pusat yang mempunyai 1,641 pengundi awal itu.

Pegawai serta anggota polis terlibat telah beratur bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebelum proses pengundian dibuka pada jam 8 pagi.

Daripada 72 pusat pengundian awal di Perak, 54 membabitkan premis PDRM, manakala 18 lagi di premis milik tentera.

Dalam perkembangan sama, Datuk Mohd Yusri berkata, pengundian pos bagi warga PDRM Perak telah pun dijalankan pada 14 november, melibatkan 565 anggota.

Daripada jumlah itu, 322 pengundi lokaliti di Perak dan 243 lagi pengundi lokaliti di luar negeri Perak.

Sementara itu, menjelang pengundian pada 19 november depan, beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya calon serta penyokong parti untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh menganggu ketenteraman awam.

Antaranya, melakukan provokasi, membangkitkan isu sensetif berbaur perkauman dan agama serta melakukan khianat.

Loading...
Terkini