comscore
Tumpuan :
Nasional

AADK buka ruang luas untuk rawatan dan pemulihan secara sukarela

Antara aktiviti pemulihan yang dianjurkan oleh PUSPEN Dengkil. Gambar FB PUSPEN Dengkil.

PUTRAJAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjelaskan usaha dan perkhidmatan yang disediakan agensi itu adalah bersifat terbuka dan tidak berbentuk paksaan kepada mereka yang memerlukan.

AADK dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua program rawatan dan pemulihan utama disediakan kepada mereka yang terjebak dengan isu penagihan dadah iaitu Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI), yang dijalankan di 30 buah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

“Kedua-dua program ini turut menyediakan kaedah sukarela yang dibuka seluas-luasnya kepada mereka yang memerlukan bantuan tanpa melalui perintah mahkamah seperti yang termaktub dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” kata kenyataan itu.

Antara aktiviti pemulihan yang dianjurkan oleh PUSPEN Dengkil. Gambar FB PUSPEN Dengkil.

Menurut AADK, mereka yang memerlukan rawatan boleh memilih untuk mengikuti program RPDI di lima PUSPEN sukarela iaitu PUSPEN Sungai Besi, Kuala Lumpur; PUSPEN Jerantut, Pahang; PUSPEN Bukit Mertajam, Pulau Pinang; PUSPEN Bachok, Kelantan dan PUSPEN Dengkil, Selangor.

Manakala bagi program RPDK, yang dijalankan di 108 Pejabat AADK Daerah dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti seluruh negara, peserta bebas berada dalam komuniti dan boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa seperti bekerja dan tinggal bersama keluarga.

Selain itu, akses kepada rawatan dan pemulihan AADK juga disediakan di 29 buah pusat khidmat AADK seluruh negara dan kebanyakannya ditempatkan di kawasan sekitar penduduk atau berasaskan komuniti.

Antara aktiviti pemulihan yang dianjurkan oleh PUSPEN Dengkil. Gambar FB PUSPEN Dengkil.

Menurut kenyataan itu, proses rawatan dan pemulihan AADK dimulakan dengan membuat penilaian dan saringan tahap penagihan dadah menggunakan instrumen berasaskan kepada pembuktian yang ditadbir urus sepenuhnya pegawai pemulihan AADK terlatih dan tidak menggunakan kaedah ujian saringan air kencing semata-mata.

“AADK sentiasa mengikut trend semasa berkaitan kes penagihan dadah dan kaedah dari dalam dan luar negara agar langkah pencegahan serta rawatan dan pemulihan yang dilaksanakan seiring dengan perubahan semasa.”

“Sehubungan itu, AADK berpandangan adalah tidak wajar jika ada sesetengah pihak mengatakan usaha dan perkhidmatan yang disediakan AADK ini tidak bersifat terbuka dan dan berbentuk paksaan sepenuhnya,” kata AADK.

Terdahulu, media melaporkan Persatuan Pengasih Malaysia mencadangkan agar penagih dadah diberi pilihan alternatif untuk memilih kaedah pendekatan rawatan dan pemulihan yang sesuai supaya prosedur tersebut dapat berlangsung secara adil tanpa paksaan.

Presidennya Hafizi Harun dilaporkan berkata, rawatan tersebut biarlah bersifat adil dan ada banyak pilihan supaya mereka tidak dipaksa secara mandatori untuk jangka masa tertentu.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini