comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada kemungkinan dicampur antara beras tempatan dan beras import, tetapi sukar dibuktikan – KPDN 

KULIM: Disebabkan masalah kekurangan bukti menyukarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan ke atas perbuatan mencampurkan beras tempatan dan import.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata pihaknya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhadapan kekangan kerana pihak tidak bertanggungjawab ini bijak menyembunyikan kegiatan mereka.

“Kita menerima satu aduan mengenai beras yang dicampur, ada kemungkinan dicampur antara beras tempatan dan beras import, tetapi sukar dibuktikan. Perlu dibuktikan (bahawa) berlakunya aktiviti mencampurkan beras itu dan di mana ia berlaku.

“Sekiranya ada bukti berlaku aktiviti berkenaan dan bukti itu diserahkan (kepada KPDN), mungkin kedua-dua kementerian boleh mengambil tindakan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Bersama Rakan Strategik KPDN di sini, hari ini.

Fuziah berkata, isu berhubung bekalan beras tertakluk mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan pihaknya perlu memaklumkan aduan mengenainya kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk tindakan lanjut.

“Berbanding barang lain termasuk gula dan minyak, tindakan berhubung isu beras ini adalah di luar bidang kuasa KPDN, namun semua aduan yang kita terima akan dipanjangkan kepada KPKM.

“Bagaimanapun, KPDN memberi jaminan akan menggiatkan pemeriksaan di bawah Ops Jamin bagi membanteras aktiviti penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI),” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejumlah 47 aduan membabitkan isu berkaitan beras termasuk aktiviti mencampurkan beras dilaporkan berlaku sepanjang Ops Jamin.

“Pada 7 Julai hingga Sabtu lalu, KPDN dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melakukan sejumlah 1,053 pemeriksaan di bawah Ops Jamin membabitkan pihak pengilang, pemborong dan peruncit beras di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 47 aduan diterima kebanyakkannya membabitkan harga beras dan terdapat satu aduan berkenaan aktiviti mencampurkan beras yang berkemungkinan adalah perbuatan mencampurkan antara beras tempatan dan import,” katanya.

Loading...
Terkini