comscore
Tumpuan :
Nasional

Sorok minyak paket subsidi dalam bilik sauna terbiar

FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Timur Laut berjaya membongkar aktiviti menyembunyikan minyak masak paket bersubsidi dalam bilik sauna terbiar di sebuah kondominium dekat Jalan Bukit Gambir, semalam.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan berkata, serbuan jam 10 pagi dilakukan hasil risikan selama dua minggu serta aduan awam.

“Hasil serbuan, kami menemukan 2.98 tan minyak masak paket dianggarkan bernilai RM6,407. Ia disimpan dalam ruangan yang dijadikan stor dan berkunci daripada luar.

“Kami turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang mendakwa premis itu diuruskan bapanya dan dia tidak mempunyai maklumat berkaitan kegiatan menyorokkan minyak terbabit.

“Difahamkan, keluarga lelaki itu turut tinggal di kondominium berkenaan manakala bilik sauna itu terletak di aras bawah bangunan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jegan berkata, pihaknya sedang mengesan bapa lelaki itu yang berusia 60-an untuk mendapatkan maklumat daripada mana dia mendapatkan bekalan minyak bersubsidi berkenaan dan kepada siapa minyak itu akan dipasarkan.

Jegan juga tidak menolak kemungkinan minyak itu dijual kepada pihak-pihak tertentu, terutamanya peniaga makanan, pada harga lebih mahal berbanding harga pasaran iaitu RM2.50.

“Bagaimanapun, taktik pihak tertentu termasuk kemungkinan minyak itu dipek semula dalam botol, terus dijual dalam bentuk asal atau diseludup ke luar negara masih dalam siasatan.

“Terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kerana kegiatan seumpama ini sukar dikesan jika ia dilakukan di premis persendirian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Loading...
Terkini