comscore
Tumpuan :
Nasional

Minyak masak paket bersasar: Sukar dilaksana namun tidak mustahil – FOMCA

 

Foto hiasan

PETALING JAYA: Tempoh masa yang lama dalam proses pengumpulan data penerima akan menyukarkan hasrat kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

Biarpun begitu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpandangan hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan hanya mereka yang mempunyai pengenalan diri ID dan disahkan layak, boleh membeli minyak masak paket bersubsidi, tidak mustahil untuk dikuatkuasakan.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin berkata maklumat penerima yang terperinci diperlukan iaitu bukan hanya ketua isi rumah sahaja tetapi melibatkan bilangan keseluruhan ahli keluarga.

“Saya harap data pengguna itu melibatkan termasuk bilangan ahli keluarga, sekarang ni B40 memang sempit dan M40 juga kalau bilangan isi rumah ramai memang terdesak,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Beliau juga percaya sekiranya langkah itu dapat dijayakan ia akan mengurangkan isu ketirisan minyak masak paket bersubsidi.

“FOMCA sangat bersetuju dengan kaedah ini, ia bagi memastikan isu ketirisan tidak berbangkit, namun kami belum tahu cara pelaksanaan itu, kerana belum dimaklumkan lagi oleh KPDN berkenaan kaedah pelaksanaannya.

“Jadi kita tunggulah penjelasan lanjut daripada KPDN sendiri, “ tambahnya.

Bagi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKM WP) langkah memperluaskan kategori penerima subsidi bagi minyak masak paket dengan menambah peniaga mikro amat bertepatan memandangkan golongan itu turut terkesan susulan peningkatan harga barang mentah lain.

Presiden Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Datuk Mohamad Abdullah

Yang Dipertuanya Datuk Mohamad Abdullah berkata kekurangan bekalan itu di pasaran amat dirasai peniaga kecil selain terpaksa bersaing dengan warga asing untuk membelinya.

Justeru beliau mencadangkan penggunaan My Sejahtera bagi mengelak daripada ketirisan subsidi itu termasuk jatuh ke tangan mereka yang tidak layak.

“Jadi biar dia ada IC, sebab kita tengok ketirisan berlaku melibatkan bukan rakyat Malaysia yang menjalankan perniagaan, yang pendatang asing dan sebagainya, pada pandangan saya ini satu tindakan yang perlu buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh sebelum ini mendedahkan 60 peratus daripada 60 juta minyak masak paket digunakan peniaga mikro yang tidak tergolong sebagai penerima subsidi barangan itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka.

Mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar bagi minyak masak paket itu bagaimanapun belum dimuktamadkan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini