comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Kepda Keluarga Satwant Sigh

| Oleh Salina Zakaria

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan dan pentadbir sukan, Satwant Singh Dhaliwal, yang meninggal dunia semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara sebentar tadi, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang.

Baginda berdua turut berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan, serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan mendiang kepada bidang kewartawanan dan sukan tanah air.

“Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan sukan negara,” titah Tuanku.

Satwant, 59 tahun pernah berkhidmat di Unit Latihan Atlet, Bahagian Persediaan Antarabangsa Majlis Sukan Negara (MSN) selain pernah berada dalam bidang perhubungan awam sukan termasuk kejohanan hoki Piala Sultan Johor dan Konfederasi Hoki Malaysia.

Mendiang antara wartawan dan penulis sukan berpengalaman dan vokal dalam memberikan pandangan bernas serta ulasan secara kritikal yang mendorong semua pihak sentiasa meningkatkan usaha demi membangunkan sukan negara.

Semalam, mendiang yang juga bekas wartawan akhbar Malay Mail pengsan ketika bersarapan di sebuah kedai makan sekitar rumahnya, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor setibanya di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

Loading...
Terkini