comscore
Tumpuan :
Nasional

“Ibadat agama tak pernah ganggu prestasi atlet, sukan” – Hannah

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bercakap pada sidang media mengenai penganjuran acara sukan bermotor Malaysia di Speedway Plus Karting Circuit hari ini.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam tindakan bekas pemain badminton negara yang mengeluarkan kenyataan berbaur rasis dan pertikaian agama yang tular di media sosial.

Hannah turut mengulangi pendirian bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya menerusi bebenang ciapan di laman Twitternya, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, hasil semakannya dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapati individu berkenaan bukan lagi atlet negara, sebaliknya bekas pemain pelapis percubaan BAM pada 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.

Menerusi perkongsian video dibuat seorang pemilik akaun di TikTok yang tular sejak dua hari lalu, bekas pemain tersebut dikenali Bong Guang Yik yang menjadi jurulatih badminton di China mendakwa prestasi pemain negara merudum pada Terbuka Malaysia 2023 kerana BAM diuruskan oleh orang Melayu selain menyentuh sensitiviti umat Islam.

Loading...
Terkini