comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta khusus berkaitan pembaharuan semula bandar digubal

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggubal akta khusus dalam usaha memastikan pembangunan semula bandar dilaksanakan secara sistematik, terancang dan cekap.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini, terdapat sembilan akta dan perundangan berbeza merentasi bidang tugas pelbagai kementerian serta agensi, yang merencatkan proses pembaharuan semula bandar.

“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan mengambil tindakan segera mulai hari ini dengan menjalankan Analisis Impak Peraturan (RIA) bersama pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menilai keperluan akta khusus berkaitan pembaharuan semula bandar selari amalan negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB), di sini hari ini.

Kor Ming berharap, rang undang-undang bagi akta tersebut akan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

Korea Selatan mempunyai undang-undang khusus berkaitan pembaharuan semula bandar iaitu “Special Act on Promotion of Urban Renewal 2009’, manakala di United Kingdom terdapat ‘Housing and Regeneration Act 2008’ serta ‘Housing Grant, Construction and Regeneration Act 1996’.

Ujarnya lagi, akta berkenaan penting bagi menangani isu ‘consent threshold’ iaitu persetujuan pemilik kediaman strata untuk pembangunan semula kawasan.

Ketika ini, Malaysia menetapkan persetujuan pada kadar 100 peratus atau sebulat suara terhadap cadangan pembaharuan.

“Amalan terbaik bagi persetujuan penduduk untuk pembaharuan semula di Singapura adalah 90 peratus bagi bangunan yang berusia tidak lebih daripada 10 tahun. Untuk bangunan yang berusia lebih dari 10 tahun, Hong Kong menetapkan pada kadar 90 peratus, Singapura pada 80 peratus sementara Tokyo (Jepun), Seoul (Korea Selatan) dan Shanghai (China) pada 66.7 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai GPP PSB, Kor Ming berkata, ia diluluskan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu bertujuan memberi panduan kepada Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri (PBN), pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju hartanah serta pihak berkepentingan lain.

Ia sebagai rujukan kepada pihak berkenaan yang ingin memajukan atau membangunkan semula kawasan penempatan terpinggir, usang dan tidak lagi ekonomik untuk meningkatkan imej serta reka bentuk bandar dan kualiti hidup masyarakat bandar.

GPP PSB menyentuh empat jenis pembaharuan semula bandar iaitu pembangunan semula bandar, penjanaan semula bandar, penyegaran semula bandar dan pemuliharaan bandar.

Loading...
Terkini