comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sindiket produk kosmetik dan kecantikan tumpas, ‘dalang utama’ ditahan

 

Oleh: Juliana Sahrin

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket penjualan produk kosmetik dan kecantikan tanpa kelulusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di dua lokasi sekitar Setapak, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor.

Operasi Khas yang dijalankan pada 25 April lalu itu turut menahan ‘dalang utama’ sindiket, seorang wanita warga asing.

FOTO: JIM

Operasi jam 12.15 tengahari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

FOTO: JIM

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, operasi dijalankan susulan aduan dan risikan yang dijalankan selama 3 minggu.

“Pasukan operasi telah diatur gerak ke tiga buah premis dan telah menahan ‘dalang utama’ iaitu seorang perempuan warga Indonesia berusia lingkungan 50 tahun,” katanya menerusi kenyataan.

Turut ditahan seorang lelaki warganegara Indonesia dan seorang perempuan warga Indonesia berusia 25 dan 35 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘promoter online’ produk kosmetik dan kecantikan.

“Hasil semakan awal mendapati pihaknya, seorang wanita warga Indonesia yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sahlaku.

“Seorang wanita warga Indonesia lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini dan seorang lelaki warga Indonesia telah tinggal lebih masa,” menurutnya lagi.

FOTO: JIM

Pihaknya merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua pasport Indonesia, wang tunai RM3,263.00 dan IDR3,271,000.00.

Modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara ‘online’ melalui ejen dengan harga RM159.00 setiap satu.

“Sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama 6 bulan,” jelasnya.

FOTO: JIM

Semua warga asing itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

Manakala seorang lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Mereka juga akan disiasat KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini