comscore
Tumpuan :
Nasional

Aktiviti mengajar, ceramah di masjid, surau di Perak ditangguhkan

Foto hiasan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menangguhkan sementara aktiviti mengajar dan bersyarah di masjid, surau diri Jumaat (SDJ) dan surau yang berdaftar dengan jabatan itu berkuatkuasa hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, penangguhan itu membabitkan semua penceramah dari luar dan dalam negeri ini serta susulan proses penambahbaikan yang sedang dibuat terhadap Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau.

Katanya, ia sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam supaya selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.

Menurutnya, penambahbaikan yang dilakukan susulan penangguhan itu adalah selepas Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak membuat penelitian terhadap permohonan penceramah dari Iuar negara dan Iuar negeri Perak.

Arahan itu dikeluarkan menerusi satu pekeliling yang disiarkan di Facebook (FB) Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk, di sini, hari ini.

Menurut pekeliling itu lagi, pengecualian masih dibenarkan sebagaimana Peraturan 23 (1) (a) hingga (e), (2) dan (3) Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013.

Berdasarkan peraturan itu, individu terbabit mestilah anggota Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk); mufti mana-mana Negeri di Malaysia; pegawai agama; guru agama yang dilantik oleh kerajaan negeri atau Persekutuan yang mengajar atau memberi syarahan kepada pelajar sekolah atau institusi di mana dia ditugaskan; dan mana-mana orang yang pada pendapat MAIPk mempunyai kelayakan dan pengalaman yang bersesuaian.

Loading...
Terkini