comscore
Tumpuan :
Nasional

Akui tinggalkan majlis perkahwinan Janna, Dini – Ustaz Wadi dah maklumkan ‘tuan rumah’  

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar menjelaskan beliau telah memaklumkan kepada `tuan rumah’ niatnya untuk meninggalkan majlis perkahwinan pasangan selebriti Janna Nick dan Dini Schatzmann lebih awal.

Ustaz Wadi berkata, beliau dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan itu dan membaca doa, namun apabila sampai di majlis itu, pasangan pengantin belum tiba.

Katanya sepuluh minit kemudian, pengerusi majlis mengumumkan beliau untuk membaca doa yang ketika itu pengantin masih belum muncul lagi.

“Apabila saya nampak pengantin sampai dari hujung sana, saya beritahu PA (pembantu peribadi) bahawa kami kena balik kejap lagi dan tidak dapat teruskan majlis. Saya buat keputusan untuk tidak makan, (tidak) bergambar, (tidak) bersama mengikut tentatif sehingga ke akhir majlis,” katanya menerusi rakaman video di media sosial.

Ustaz Wadi memaklumkan selepas pasangan pengantin itu berucap dan beredar, beliau terus balik dan memaklumkan kepada ‘tuan rumah’ mengenai niat mereka untuk meninggalkan majlis lebih awal.

Menurutnya, tindakannya itu adalah yang diajar dalam Islam iaitu tidak memalukan orang lain, menimbulkan persepsi negatif serta tidak menjatuhkan tuduhan dan fitnah.

“Hukum tetap hukum, namun pada masa sama, tidak keruhkan keadaan dan menimbulkan fitnah,” katanya lagi.

Terdahulu, portal media melaporkan kehadiran Ustaz Wadi atau nama penuhnya Mohamad Wadi Annuar Ayub yang hadir membaca doa dalam majlis perkahwinan pasangan selebriti berkenaan mendapat pelbagai reaksi warganet.

Rata-rata warganet memberi pendapat  Janna sepatutnya mempunyai akal budi mengundang agamawan apatah lagi tampil dengan persalinan pengantin tidak menutup aurat selain segelintir rakan artis yang turut berpenampilan sama.

Pada 10 Jun lalu, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, dan Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29,   melangsungkan pernikahan di sebuah lokasi tertutup di Langkawi.

Pasangan itu kemudian diraikan dalam majlis resepsi di sebuah resort terkemuka dekat Langkawi.

Antara rakan artis yang hadir adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Loading...
Terkini