comscore
Tumpuan :
Hiburan

”Saya mengakui kesilapan saya” – Janna

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelakon yang baharu sahaja bergelar isteri, Janna Nick mengakui kontroversi membabitkan pendakwah popular Ustaz Mohamad Wadi Annuar yang dijemput ke majlis perkahwinannya baru-baru ini, adalah kesilapannya sendiri.

“Saya mengakui kesilapan saya. Saya harap masyarakat dapat menerima penjelasan ini dan tidak membangkitkannya lagi.

“Saya minta maaf, itu adalah kealpaan saya. Saya sedar itu adalah kelalaian dan kesalahan daripada pihak saya yang mana majlis itu tidak sesuai dengan Ustaz Wadi.

“Ustaz Wadi juga sudah buat penjelasan daripada pihak dia dan saya juga tidak mahu panjangkan isu ini. Saya sangat menghormati Ustaz Wadi sebab dia adalah ilmuan yang banyak sampaikan ilmu kepada kita semua.

“Saya sebagai orang yang cetek ilmu sangat menghormati mereka semua. Kalau mahu bandingkan nama saya dengan dia sangat jauh beza. Saya rasa hina sangat kalau mahu panjangkan kontroversi ini,” katanya.

Menurut Janna, dia menjemput Ustaz Wadi kerana ada bertemunya pada malam sebelum hari pernikahan dengan Dini.

“Tujuan saya menjemput Ustaz Wadi kerana malam sebelum hari pernikahan, saya minta dia untuk ketuai majlis doa selamat dan bacaan surah Yasin. Malam itu juga, dia ada menyampaikan ceramah bertajuk ‘Memimpin Isi Rumah Ke Syurga’.

“Disebabkan itu, Ustaz Wadi tahu ada undangan perkahwinan dan saya tidak tahu hukum dalam Islam sekiranya seseorang itu sudah dijemput, maka wajib datang,” katanya.

Tidak mahu terus dikaitkan dengan isu berkenaan, Janna berkata, dia sudah membuat permohonan maaf secara peribadi dengan Ustaz Wadi termasuk memohon orang ramai untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

“Semoga semua orang boleh hentikan isu ini dan tidak berlaku perbalahan. Niat saya hanya mahu mohon keberkatan daripada orang yang ilmunya tinggi untuk mendoakan perkahwinan saya,” katanya yang mengakui dirinya sering tidak terlepas dari kontroversi.

Terdahulu, kehadiran Ustaz Wadi ke majlis pernikahan pasangan selebriti itu untuk membacakan doa mendapat pelbagai reaksi netizen.

Rata-rata netizen berpendapat bahawa Janna sepatutnya lebih sensitif sekiranya mahu mengundang agamawan, apatah lagi pelakon itu tampil dengan persalinan tidak menutup aurat termasuk segelintir rakan artis yang turut berpenampilan sama.

Bagaimanapun, Ustaz Wadi menjelaskan kehadirannya itu disebabkan ia menjadi kewajipan untuk memenuhi undangan pernikahan, namun mengambil keputusan untuk meninggalkan majlis lebih awal selepas memaklumkan kepada ‘tuan rumah’.

Loading...
Terkini