comscore
Tumpuan :
Nasional

Al-Quran arwah adik terselit pesan ibu jadi pengubat rindu

ABDUR Rahman gagal menahan sebak selepas menerima al-Quran milik adiknya dan nota ucapan serta pesanan buat Fatimazatulzahrah yang meruntun hati warganet. FOTO Tangkap Layar TikTok

KUALA LUMPUR: Kerinduan Abdur Rahman Amir Ruddin terhadap ibu, Norahimah Noor Muhamad dan ahli keluarganya yang terkorban dalam kemalangan Kilometer (km) 5, Jalan Segamat-Kuantan sedikit terubat selepas menerima naskah al-Quran milik adiknya, Fatimatulzahrah.

Menerusi satu video tular, kelihatan seorang lelaki menyerahkan al-Quran kepada Abdur Rahman hingga pemuda itu menangis kerana gagal menahan sebak.

Artikel berkaitan: “Alhamdulillah, adik dah sedar, wayar di tubuhnya sudah dicabut”

Naskhah al-Quran itu adalah pemberian ibu kepada adiknya, Fatimazatulzahrah sempena ulang tahun ke-16, tahun lalu.

Lebih menyedihkan, terselit nota ucapan dan pesanan Norahimah buat Fatimazatulzahrah bersama naskhah al-Quran berkenaan.

“Sanah Helwah (Selamat ulang tahun kelahiran) anakku. Tahniah kakak, 16 tahun sudah kakak bernafas dalam dunia ini.

“Ilmu itu cahaya. Tanpa cahaya pasti gelap dunia. Timbalah ilmu walau di mana berada.

“Susah senang itu adat dunia. Berikhtiar dan berdoa itu senjata kita.

“Jadi anak yang solehah insya-Allah,” tulis Norahimah.

Perkongsian video Abdur Rahman menerima naskhah al-Quran itu turut meruntun hati netizen yang rata-ratanya memahami kesedihan pemuda berkenaan.

Terdahulu, Abdur Rahman diuji apabila kehilangan enam ahli keluarga yang maut dalam nahas jalan raya pada 1 September lalu selepas Perodua Alza dinaiki bertembung dengan sebuah lori.

Kemalangan di kilometer (km) 5, Jalan Segamat-Kuantan itu mengorbankan Norahimah, suaminya, Amir Ruddin Ismail, 46 serta empat lagi adik-beradik Abdur Rahman iaitu Fatimatulzahrah, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Dalam perkembangan terbaru, Abdur Rahman memaklumkan adiknya, Abdullah, 15, yang terselamat dalam kemalangan jalan raya itu dan sebelum ini ditidurkan mulai sedar dan mampu menggerakkan tangan.

Abdullah, 15, yang dilaporkan kritikal sejak hari kemalangan menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, Johor.

Loading...
Terkini