comscore
Tumpuan :
Nasional

AMAR Rakan Strategik SPRM, Sebar Mesej Antirasuah Dalam Kalangan Mahasiswa

Norazlan Mohd Razali berucap merasmikan penutup Konvensyen AMAR 2022 di Kem El-Azzhar, Banting

PETALING JAYA: Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) mempunyai tanggungjawab sebagai rakan strategik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyampaikan mesej antirasuah kepada golongan mahasiswa di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, ini kerana bukan satu tugas mudah untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada lebih satu juta pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan pelajar di Kolej Komuniti seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan program pencegahan rasuah harus dilaksanakan dengan strategi berkesan dan efisyen supaya visi AMAR untuk mewujudkan generasi muda yang membenci rasuah dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rasuah akan dapat direalisasikan.

“Pelbagai kajian oleh para ilmiah dan pertubuhan antarabangsa mendapati pergerakan seumpama AMAR ini merupakan komponen penting dan mampu menarik sokongan daripada pertubuhan dalam dan luar negara.

“Sebagai contoh, pergerakan antirasuah diterajui oleh pelajar di Thailand iaitu Thai Youth Anti-Corruption Network yang ditubuhkan pada 2012 telah mendapat sokongan kuat daripada United Nations Development Programme dan kerjasama dengan sektor swasta lain seperti Thai Chamber of Commerce, Thai Bankers’ Association dan Stock Exchange of Thailand (SET),” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Konvensyen AMAR 2022 kali ke-8 di Kem El- Azzhar, Banting hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim.

Seramai 118 mahasiswa membabitkan pemimpin- pemimpin AMAR dari IPTA, IPTS, Institut Pendidikan MARA dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara terbabit dalam konvensyen selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu.

Loading...
Terkini