comscore
Tumpuan :
Nasional

Amaran banjir kilat di Kluang, Kota Tinggi, Pontian, awal pagi esok

JOHOR BAHRU: Banjir kilat dijangka berlaku di daerah Kluang, Kota Tinggi dan Pontian awal pagi esok.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis pada jam 5 petang tadi, mengenai kemungkinan banjir kilat di tiga daerah terbabit dalam tempoh 12 jam akan datang.

Notis itu menyebut, banjir kilat diramal berlaku jika hujan yang signifikan berterusan di beberapa lokasi di daerah terbabit.

“Kawasan di daerah Kluang yang berisiko dilanda banjir kilat adalah Mukim Ulu Benut, Mukim Kahang serta kawasan sekitarnya, manakala Kota Tinggi pula membabitkan Mukim Johor Lama, Mukim Ulu Sungai Johor dan Mukim Sedili Besar.

“Di Pontian, amaran banjir kilat membabitkan Mukim Ayer Masin, Mukim Rimba Terjun, Mukim Pontian, Mukim Api-Api, Mukim Ayer Baloi, Mukim Sungai Pinggan, Mukim Benut serta kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga meminta penduduk di kawasan terbabit supaya mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Orang ramai boleh melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut mengenai banjir. – BERNAMA

Loading...
Terkini