comscore
Tumpuan :
Nasional

Amaran hujan berterusan tahap waspada di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada mulai Khamis hingga Sabtu ini di beberapa daerah di Pahang dan Johor.

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata di Pahang, keadaan cuaca itu diramalkan di Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor membabitkan kawasan Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan di beberapa daerah di Sarawak dan Sabah berkuatkuasa hari ini sehingga esok.

Hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat). Manakala di Sabah pula membabitkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

Sementara amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam.

Amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi METMalaysia.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638.

Loading...
Terkini