comscore
Tumpuan :
Nasional

Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP

Datuk Seri Amrin Awaluddin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berkuat kuasa 23 April 2024.

Pelantikan itu adalah bagi tempoh sehingga 14 Februari 2026.

PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Amrin menggantikan Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 9 Februari 2024.

“Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan warga kerja PPZ-MAIWP mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau dan yakin dengan pengetahuan dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Amrin mampu membawa PPZ-MAIWP ke arah yang lebih cemerlang,” kata kenyataan itu.

Amrin, 58, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England.

Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), United Kingdom dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Dalam sektor korporat, Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dan memulakan kariernya di institusi perbankan sebelum memegang jawatan penting di beberapa syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.

Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, menyaksikan beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa syarikat lain antaranya Kumpulan Syarikat Media Prima Berhad, Sime Darby Properties Berhad, Boustead Holdings Berhad, Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji dan Tradewinds Group (M) Sdn Bhd. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini