comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Anak jagaan cedera, pengusaha taska didenda RM15,000

MELAKA: Seorang pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi, selepas mengaku bersalah mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki sehingga mengalami kecederaan fizikal Januari lalu.

Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh, Nooraslindah Mohd Lassim, 45.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai individu yang menjaga kanak-kanak lelaki, Muhammad Adam Zhaffran Mohd Shafiq berusia enam tahun, didapati mendedahkannya sehingga mengalami kecederaan fizikal semasa dalam jagaannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taska Bonda Seri Mutiara di Taman Noorbar, Bukit Serindit, di sini, pada 28 Januari lalu.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memohon hukuman berat berbentuk penjara dikenakan dan menghujahkan tertuduh memandang ringan aspek keselamatan dan kebajikan kanak-kanak yang tidak berdaya dan memerlukan penjagaan rapi.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh yang mengabaikan mangsa sedangkan dia diamanahkan untuk menjaganya,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan tidak berniat mencederakan kanak-kanak terbabit dan membuka taska untuk membantu ibu bapa yang bekerja shif dalam penjagaan anak.

“Selain itu saya juga mengusahakan taska bagi membantu menampung perbelanjaan harian keluarga kerana pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori tidak mencukupi,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik untuk tempoh dua tahun dengan cagaran RM2,000 berserta dua penjamin mengikut Seksyen 31(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001) dan perintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah mengikut Seksyen 31(3A) akta sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini