comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak jemaah haji yang meninggal di Tanah Suci rancang ziarah kubur ayah

Norshakila Abnil Hajar (kiri) bercakap di rumahnya di Kampung Tanjung di Kubang Pasu hari ini mengenai bapanya yang menjadi jemaah haji pertama dari Malaysia meninggal dunia pada musim haji tahun ini. – FOTO: NSTP

KUBANG PASU: Semua empat orang anak Abnil Hajar Ismail, jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah pada Jumaat merancang mengerjakan umrah dan menziarah kubur ayah mereka.

Anak kedua daripada empat beradik itu, Norshakila Abnil Hajar berkata mereka merancang menunaikan umrah selepas ini sekali gus menziarahi kubur bapa mereka di Makkah.

Katanya, adik beradiknya yang kesemuanya perempuan merancang perkara berkenaan memandangkan ayah mereka dikebumikan di Makam Al-Sharaya di Makkah semalam.

“Insya-Allah, kami ada merancang untuk buat umrah sambil ziarah kubur ayah, nak buat haji kena tunggu giliran, lambat pula, jadi kita rancang buat umrah,” katanya.

Tambah Norshakila, mereka reda dengan pemergian ayah mereka.

“Kami reda dengan pemergian ayah walaupun agak mengejutkan, dia meninggal pada hari Jumaat di Makkah dan disolatkan di Masjidil Haram, kematiannya dicemburui,” kata Norshakila.

Tiga daripada anak Abnil Hajar Ismail menunjukkan gambar keluarga mereka di rumah mereka di Kampung Tanjung, Kubang Pasu susulan kematian bapa mereka di Makkah semalam. – FOTO: NSTP

Jelas Norshakila, 49, kematian bapanya Abnil Hajar Ismail, 72, di Tanah Suci diimpikan oleh umat Islam, apa tah lagi kerana kejadian itu berlaku ketika bapanya mahu menunaikan ibadat rukun Islam kelima.

Katanya, dia menerima berita pemergian bapanya itu menerusi panggilan telefon oleh ibu mereka Sa’diah Bakar, 72, kira-kira jam 5 pagi kelmarin (Jumaat) yang turut berada di Tanah Suci.

“Kami baharu tahu yang ayah ada muntah dan dibawa ke klinik pada hari yang sama dia meninggal. Rupanya ayah memohon petugas Tabung Haji (TH) merahsiakan perkara itu kerana tidak mahu anak-anak risau.”

“Sepanjang buat panggilan video pun ayah nampak sihat saja di sana. Mak pun beritahu ayah kuat dan bersemangat, sebab itu kami terkejut apabila dimaklumkan ayah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, Mukim Jeram di sini, hari ini.

Norshakila yang juga seorang guru, berkata ayahnya mendaftar haji sejak 2009 dan baharu mendapat panggilan haji tahun ini.

“Sejak dapat berita nama terpilih untuk menunaikan haji, ayah seronok sangat…dari mula dapat berita sehingga kami hantar dia di Hotel Raia pada 9 Mei lalu memang nampak wajahnya sangat ceria.”

“Masa tu pun dia tak ada tunjuk apa-apa perubahan cuma ada pesan tolong tengok-tengokkan rumahnya ini sahaja,” katanya.

Norshakila berkata ibunya akan meneruskan ibadat haji dibantu petugas TH dan dia difahamkan pihak TH turut akan membantu melakukan badal haji untuk bapanya.

“Terima kasih kepada TH kerana membantu memudahkan urusan mak dan menguruskan jenazah ayah kami di Tanah Suci,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia di sebuah hospital di Makkah akibat pembuluh darahnya pecah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini