comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak MB Perlis akan didakwa esok – Sumber

Tiga daripada enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

KUALA LUMPUR: Anak kepada Menteri Besar Perlis dijangka didakwa di mahkamah esok berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Sumber berkata pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Dia (anak Menteri Besar Perlis) akan didakwa di mahkamah pada Khamis (esok). Maklumat lanjut mengenai pertuduhan akan dimaklumkan pihak SPRM nanti,” kata sumber itu.

Mengenai kes membabitkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; sumber memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan SPRM.

Media pada 24 April lalu melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Suspek berusia antara 27 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Anak Menteri Besar Perlis bersama empat lagi kemudian dilepaskan pada 26 April lalu dengan jaminan sebaik tempoh reman tamat.

Susulan siasatan yang dijalankan, SPRM pada 30 April lalu menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan isu salah guna kuasa.

Beliau ditahan kira-kira jam 11 pagi semasa hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sebelum dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 7 malam.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang pemimpin kanan dari utara tanah air kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini