comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Anak saya tidak pandai berenang’ – Bapa

Foto NSTP

TUMPAT: Bapa kepada kanak-kanak yang hilang dikhuatiri lemas bersama bapa saudaranya di Sungai Kelantan di sini, mengakui bersedia menerima kemungkinan yang berlaku.

“Sebaik mendapat panggilan memberitahu anak terjatuh dalam sungai, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk bakal kehilangannya,” kata bapa kepada kanak-kanak lelaki, Amrullah Fitri Afendi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam, Nor Awadah Sulong, 30, ditemukan lemas manakala suaminya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta Amrullah Fitri, 10, masih hilang.

Afendi Ismail, 43, berkata, dia menerima panggilan jam 7 malam tadi mengenai anaknya yang berusia 10 tahun itu terjatuh ke dalam sungai ketika bersia-siar menaiki bot bersama bapa saudaranya di Sungai Kelantan di sini.

Foto NSTP

“Saya bergegas ke lokasi di Kampung Pasir Pekan Hulu dan ternampak mayat Nor Awadah di tebing sungai manakala anak saya dan adik ipar (Wan Muhamad Najmi) masih belum ditemukan.

“Dalam hati saya merasakan sudah tiada harapan untuk ditemukan dengan selamat memandangkan anak saya tidak pandai berenang malah kesemua mereka juga tidak memakai jaket keselamatan.

“Saya menunggu di lokasi sehingga jam 2 pagi tadi dan sempat melaungkan azan di sekitar kawasan itu dengan harapan anak dan adik ipar segera dijumpai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Afendi yang menetap di Kampung Patek, Kadok, Kota Bharu berkata, anak tunggal lelakinya yang dipanggil ‘Abang Ngah’ itu sudah kerap kali menaiki bot milik Najmi untuk bersiar-siar di Sungai Kelantan.

Dia berkata, sebelum kejadian, Amrullah Fitri bersolat Jumaat bersamanya di sebuah masjid di Kampung Kadok, Kota Bharu dan sempat membaca surah Yasin seperti kebiasaan.

“Cuma semalam anak saya membaca Surah Yasin dengan lancar, tidak seperti biasa yang kerap juga bertanyakan saya jika tidak pasti mengenai bacaan.

“Ketika ingin menunaikan Solat Jumaat semalam juga, Abang Ngah agak teruja berada di barisan hadapan selepas menyedari ada beberapa ruang kosong sebelum memenuhinya.

“Abang Ngah anak yang patuh dan sering membantu saya menjaga lembu peliharaan kerana sudah boleh diharap. Saya harap mereka berdua ditemukan segera walau hidup atau sudah tiada,” katanya.

@buletintv3♬ original sound – BuletinTV3

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri serta kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam sungai selepas enjin bot yang dinaiki mati dengan tiba-tiba menyebabkan mereka terpelanting.

Bagaimanapun bayi perempuan yang juga anak kepada pasangan suami isteri terbabit, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan selamat kerana sempat berpegang ke stereng bot.

Jenazah Nor Awadah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Sungai, di sini, selepas Zohor nanti.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bermula pukul 8 pagi tadi dengan pencarian sekitar 1.2 kilometer radius termasuk selaman daripada sembilan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Loading...
Terkini