comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang dikhuatiri lemas, dua bot bertembung di Tasik Kenyir

Operasi SAR mangsa yang dikhuatiri lemas susulan kejadian pelanggaran dua bot di Tasik Kenyir – Foto: NSTP/ Ihsan BOMBA, APM

HULU TERENGGANU: Seorang lelaki dikhuatiri hilang, manakala lapan individu lagi terselamat selepas dua buat bot bertembung di Sungai Pertang, Tasik Kenyir dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohamad berkata, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai Mohd Faisal Derahman, 42, dari Kampung Pasir Dula.

Katanya, sebaik menerima panggilan jam 11.05 pagi, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi menyelamat.

“Kemalangan melibatkan dua buah bot. Sebuah bot dinaiki tujuh orang manakala sebuah lagi dua orang.

“Lapan mangsa selamat dan mengalami kecederaan ringan manakala seorang daripada mereka masih belum ditemui selepas terjatuh daripada bot.

“Kita menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas di kawasan berkenaan,” katanya.

Hanaffi berkata, kesemua mangsa yang selamat dan mengalami kecederaan ringan diberi rawatan awal oleh Anggota Pertahanan Awam (APM) dan seorang dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.

Pegawai APM Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak, berkata pihaknya memberi rawatan awal sebelum membawa mangsa ke hospital.

Katanya, pihaknya menggunakan dua bot membawa lima mangsa yang cedera ke Pangkalan Gawi sebelum dihantar ke hospital manakala tiga lagi menggunakan bot orang awam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan (ASP) Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis sedang mengumpulkan maklumat lengkap berkaitan insiden terbabit.

Loading...
Terkini