comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota tentera hilang 19 hari di hutan ditemukan selamat


LIMBANG: Anggota Batalion ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di sini pada 18 Jun lalu, ditemukan selamat hari ini.

Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim ditemui sekitar jam 11.29 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) setelah 17 hari operasi terbabit dilancarkan.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menerusi satu kenyataan berkata, angota terbabit berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi pangkalan operasi hadapan (FOB) Tim A.

“Beliau (Prebet Syafiq) ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi. 

“Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, keluarga kepada anggota terbabit sudah dihubungi dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam tempoh terdekat dengan perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.

Markas TDM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi itu khususnya kepada Kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), individu serta semua yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga Muhammad Syafiq berjaya ditemui selamat.

“TDM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang operasi SAR ini dijalankan.

“Kerjasama erat antara TDM dan ABDB dalam operasi ini telah membuktikan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dan terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan operasi ini sehingga beliau berjaya ditemui dengan selamat,” katanya.

Sehubungan itu TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini