comscore
Tumpuan :
Nasional

ANGKASA tawar jadi pembekal ayam, telur, makanan haiwan utama negara

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meminta kerajaan mempertimbangkan tawaran koperasi itu untuk menjadi pembekal utama ayam, telur dan makanan haiwan itu di negara ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, tawaran itu bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada pembekal sedia ada yang selama ini memonopoli dan memanipulasi harga bahan makanan itu.

“Kos pengeluaran ditentukan oleh pembekal-pembekal, jadi mengikut rekod dan pengalaman, kita lihat pembekal-pembekal ini juga membekalkan anak ayam dan makanan ayam, mereka juga membeli balik ayam yang diternak daripada penternak.

“Ini menjadi masalah sebab kalau mereka rasa hendak naikkan harga makanan ayam, mereka akan naikkan, jadi, penternak akan terkesan sedangkan harga beli pun dikawal oleh mereka. Ini satu yang perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Abdul Fattah, pihaknya telah menyiapkan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tujuan berkenaan.

Selain kemampuan yang dimiliki ANGKASA, kertas cadangan itu jelas beliau, bertujuan memperbaiki semula ekosistem bekalan ayam dan telur yang dianggap sebagai tidak sihat ketika ini ekoran tindakan manipulasi pembekal tertentu yang disifatkan sebagai kartel.

Menerusi kajian yang dijalankan, jelasnya, ANGKASA mampu memperoleh bekalan anak ayam, telur dan makanan haiwan itu dari pelbagai negara tanpa bergantung daripada sesebuah negara semata-mata.

Ia ujarnya, menerusi rangkaian koperasi di negara lain yang bersedia membekalkan telur, anak ayam dan makanan haiwan dengan harga lebih murah.

Selain itu, kata beliau, ANGKASA memiliki hampir 300 koperasi yang terlibat dengan industri ternakan ayam yang boleh digabungkan untuk menjadi pembekal utama bahan makanan tersebut.

Dengan 3,000 kedai runcit milik koperasi dan 7,000 ahlinya, beliau yakin harga bekalan ayam dan telur mampu distabilkan.

Loading...
Terkini