comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua premis pemborong beras di Selangor ada bekalan beras tempatan, import

PUTRAJAYA: Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) dilaksanakan semalam mendapati semua premis pemborong beras di sekitar Selangor mempunyai bekalan BPT dan beras putih import (BPI).

Menerusi kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, semua premis yang diperiksa itu turut mempunyai lesen masih sah tempoh dan simpanan beras tidak melebihi had muatan yang dilesenkan.

Operasi berkenaan diketuai Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin serta membabitkan kerjasama penguatkuasaan rentas agensi termasuk penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

“Semua sampel yang diambil adalah mengikut prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan dan akan diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisis bagi mengesan pertukaran kampit beras atau aktiviti mencampurkan BPT dan BPI,” menurut kenyataan itu.

Analisis kimia ke atas sampel stok beras di setiap premis dalam rantaian industri bekalan barangan itu bagi mengenal pasti ketulenan jenis beras yang dijual di pasaran, sekali gus meneliti kemungkinan berlaku aspek manipulasi bekalan barangan berkenaan.

KPKM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampur BPT dan BPI atau menyembunyikan bekalan BPT, dan akan meneruskan kerjasama penguatkuasaan rentas kementerian dan agensi melalui Operasi Bersepadu BPT, menurut kenyataan itu.

Kementerian itu semalam membuat operasi bersepadu terhadap pemborong beras sekitar Selangor dan mengambil sampel untuk analisis bagi memastikan tiada kegiatan pertukaran kampit atau mencampurkan BPT dan BPI.

Operasi tersebut membabitkan 42 anggota penguat kuasa dan PDRM meliputi pengambilan sampel beras dan pengiraan stok fizikal beras dalam simpanan gudang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini