comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar dan Erdogan bakal terajui gerakan lawan Islamofobia

Oleh: Selwam Arjunan

PERMATANG PAUH: Malaysia dan Turkiye bakal menjalin kerjasama untuk membentuk gerakan bagi menangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia hasil perbincangannya dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan menerusi perbualan telefon pada petang Sabtu.

“Kita bincang mengenai Islamofobia. Erdogan dan saya bersetuju untuk mengepalai usaha ini. Erdogan tanya boleh tak kita berdua bangkitkan gerakan dan buat sesuatu untuk lawan serangan terhadap Islam terutama di Amerika Syarikat serta Eropah.

“Saya kata silakan, saya setuju dan saya kata kita akan siapkan kertas kerja dan bincang. Beliau terima dan kata berhajat untuk datang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Rakyat bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Guar Perahu, di sini, malam Sabtu.

Datuk Seri Anwar juga berkata, Erdogan meminta beliau untuk bersama pemimpin berkenaan dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September depan bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan lanjut bagi menghadapi isu Islamofobia itu.

Jelasnya, Islamofobia merupakan sikap permusuhan terhadap Islam, terutamanya di negara barat di mana Islam dibenci sehingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.

“Pasal pembakaran al-Quran, saya kata saya keluarkan kenyataan sangat keras mengutuk pembakaran al-Quran. Saya juga terus keluarkan arahan penerbitan sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dan dalam bahasa Sweden.

“Kamu bakar satu al-Quran, saya edar sejuta al-Quran dalam bahasa kamu bahasa Sweden. Ini reaksi Anwar Ibrahim. Tapi (pihak tertentu) di sini kata Anwar khianat Islam,” ujarnya.

Loading...
Terkini