comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO]Anwar sertai 2 sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 di Singapura

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Milken Institute di Singapura, hari ini, yang akan disertai oleh pemimpin-pemimpin industri global dan syarikat-syarikat pelaburan.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan dua sesi khas berkenaan ialah ‘A Conversation with the Prime Minister of Malaysia’ dan ‘Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Foto: NSTP

 

Penyertaan itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja Perdana Menteri ke Singapura, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan diiringi oleh isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut sama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta pegawai daripada kementerian dan agensi berkaitan.

Di samping itu, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong, dalam satu sesi minum petang dan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan domestik serta antarabangsa.

Pada 2022, Singapura adalah rakan dagang dunia kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan mencecah RM390.4 bilion (AS$83.53 bilion) yang merangkumi 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.

Ia meningkat sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan dalam tempoh sama bagi 2021, iaitu RM301.7 bilion (AS$64.55 bilion). – BERNAMA

Loading...
Terkini