comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar zahirkan kesediaan Malaysia beri rawatan kepada rakyat Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani ketika kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini, hari ini. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

RIYADH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di rantau Asia Barat bagi memberikan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis.

Perkara itu dimaklumkan oleh beliau kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani ketika kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada Qatar atas peranan negara itu membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia Nurul Ain Haron dari Gaza pada November 2023.

Nurul Ain bersama suaminya, Mohamed AM Shaat yang juga warga Palestin, selamat tiba di Malaysia pada 14 Nov 2023. – Foto fail

Nurul Ain bersama suaminya, Mohamed AM Shaat yang juga warga Palestin, selamat tiba di Malaysia pada 14 Nov 2023 selepas dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia turut terbabit dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setakat ini, Malaysia menerbangkan 100 tan barangan bantuan ke kawasan yang dilanda konflik itu, 20 tan lagi dihantar menerusi jalan laut manakala 1,500 tan diagih melalui badan bukan kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

Anwar juga memaklumkan rakan sejawatnya itu bahawa beliau akan berkunjung ke Doha bagi menghadiri Forum Ekonomi Qatar pada pertengahan bulan depan.

Perbincangan kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai peluang meningkatkan pelaburan di Malaysia dan Qatar selain melonjakkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai AS$910 juta (RM4.34 bilion). – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini