comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM masih teruskan pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih meneruskan pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 yang hilang sejak 9 Januari 2023.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terbabit secara langsung dalam usaha mencari kapal itu.

“Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan bersedia mengatur gerak aset-aset TLDM sekiranya diperlukan bagi menyokong operasi APMM,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai pelan penambahbaikan dan modenisasi pertahanan Malaysia sebagai langkah memperkukuhkan kedaulatan negara.

Datuk Seri Shahidan turut bertanyakan status terkini pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 yang hilang pada 9 Januari 2023.

Mengulas mengenai pelan penambahbaikan dan modenisasi pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaan pertahanan dalam melindungi kepentingan negara.

Katanya, pelan ini juga selaras dengan visi Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020-2030 iaitu ‘Malaysia Yang Selamat, Berdaulat Dan Makmur’.

Menurutnya, ATM turut menambah baik pelan strategi ketenteraannya, iaitu Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (SKN 2.0) yang juga reformasi Angkatan Masa Hadapan.

“Ia bercirikan kepada kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak di dua wilayah dan berorientasikan misi.

“SKN 2.0 adalah dokumen strategi terkini yang relevan, berkesinambungan dan praktikal dalam memastikan ATM sentiasa berada di landasan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pelan penambahbaikan dan modenisasi pertahanan Malaysia adalah langkah penting dalam mengukuhkan kedaulatan negara.

“Pelan ini tidak hanya penting untuk tujuan ketenteraan semata-mata, tetapi turut menjaga kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara secara keseluruhan.

“Dengan memastikan keupayaan pertahanan yang memadai, Malaysia dapat terus maju sebagai negara berdaulat berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dan ancaman semasa serta masa depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini