comscore
Tumpuan :
Nasional

APMM tahan nelayan asing, rampasan bernilai RM1.5 juta

Bot nelayan asing yang ditahan APMM kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran. – FOTO: Ihsan APMM

KUALA TERENGGANU: Sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan jumlah rampasan bernilai hampir RM1.5 juta.

Bot ditahan Kapal Maritim yang sedang melaksanakan Op Naga Barat pada jarak 133 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kapal yang sedang melakukan rondaan mengesan bot yang mencurigakan dipercayai bot nelayan Vietnam disyaki melakukan aktiviti penangkapan hasil laut di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Beliau berkata, seramai empat kru termasuk tekong ditahan manakala bot termasuk hasil tangkapan laut seberat 3.5 tan, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta dirampas.

“Bot dan kesemua kru yang berusia antara 29 hingga 61 tahun dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu dan mereka turut menjalani saringan COVID-19 sebagai langkah pencegahan.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

Katanya, kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim amat diperlukan bagi melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09- 6223657.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini